2012年6月22日星期五

~Ahli-ahli Kumpulan~

-Tiffany Teoh
-Tung Yan Yan
-Kwang Ching Khei
-Lai Jia Hui
-Liew Sook Mung

2012年6月21日星期四

GLOBALISASI DAN CABARAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Impak globalisasi dan pengantarabangsaan pendidikan ketika ini sudah mulai difahami dan pelan tindakan telah pun digubal untuk menangani isu dan cabaran yang bakal timbul. Perubahan corak dalam pendidikan dalam masa terdekat akibat daripada globalisasi, pengantarabangsaan dan perubahan dalam teknologi maklumat dan komunikasi ini cukup mencabar bagi pendidikan di Malaysia. Berikutnya adalah cabaran-cabaran, peranan pendidikan serta persekitaran yang perlu dihadapi oleh pendidikan di Malaysia.

CABARAN: KESEDIAN GURU DALAM MENGHADAPI GLOBALISASI
Cabaran yang terpaksa dilalui oleh institusi pendidikan dalam konteks pelaksanaan inovasi kurikulum adalah kesediaan guru untuk menerima dan melaksanakannya dengan penuh kesungguhan. Harvey (1990) telah menyenaraikan beberapa faktor yang mengekang kesediaan guru untuk melaksanakan perubahan iaitu:
1. Kurang rasa kepunyaan: Guru-guru merasakan perubahan yang dilaksanakan di sekolah sebagai elemen asing justeru mereka tidak mempunyai rasa kepunyaan, lebib-lebih lagi sekiranya mereka menyedari idea sesuatu perubahan itu adalah daripada pihak mar seperti pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan-kumpulan pendesak, tekanan pihak media dan sebagainya.


2. Kurang berfaedah: Guru-guru mempunyai pandangan agak konservatif bahawa amalan yang sedia ada tidak perlu kepada perubahan yang drastic kerana kurang diyakini benar-benar membawa faedah kepada mereka dan juga murid. Situasi mungkin akan menjadi lebih bercelaru apabila perubahan itu menyebabkan guru kekurangan kuasa autonomi terhadap pelajar seperti idea mengenai fungsi guru dalam kelas adalah sebagai pemudah cara sedangkan kebanyakan guru berpendapat fungsi tradisi guru adalah sebagai pendidik dan penyampai ilmu.


3. Penambahan beban: Guru mempunyai persepsi umum bahawa setiap perubahan bermakna penambahan terhadap beban tugas dan tanggungjawab. Persepsi ini menyebabkan guru bersikap pesimis terhadap pencetus idea perubahan kerana pihak-pihak berkenaan dianggap sebagai tidak memahami masalah mereka terutama beban tugas yang tidak berkaitan dengan pengajaran seperti menghadiri mesyuarat, menghadiri kursus, menjalankan aktiviti berkala di sekolah seperti hari kantin, hari sukan, hari kokurikulum dan pelbagi "jenis hari".


4. Kekurangan sokongan pentadbiran: Guru-guru sukar untuk melaksanakan perubahan kurikulum di sekolah sekiranya pihak pentadbiran kurang memberikan sokongan iaitu dari segi:

a) kewangan

b) motivasi dan dorongan

c) pengiktirafan

d) penyediaan peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran dan

e) mengurangkan karenah birokrasi di peringkat sekolah.

5. Menyendiri: Kebanyakan guru lebih suka melakukan tugas secara menyendiri terutama berkaitan pengajaran dan pembelajaran. Justeru sekiranya perubahan memerlukan guru bekerja secara berpasukan seperti pelaksanaan kaedah kolaboratif guru berasa kurang kondusif dan kebanyakan mereka akan mengelak dari melibatkan diri secara proaktif.


CABARAN: KEBERKESANAN KOKURIKULUM SEKOLAH

Dunia tanpa sempadan menyebabkan Malaysia menghadapi kemelutan sosial. Kebanjiran maklumat, akses yang mudah keadaan dunia hiburan,layaran mudah bahan-bahan porno melalui Internet dan melayari alam siber yang menjadi trend masyarakat menyebabkan berlakunya gejala negatif di masyarakat kini.Perasaan kebimbangan terhadap generasi pelajar masa ini telah tercetus akibat fenomena negatif ini. Perkembangan tersebut telah mendorong para perancang kurikulum Malaysia terpaksa menyemak semula keberkesanan kurikulum sekolah untuk menghadapi pelbagai perubahan akibat pengaruh globalisasi tersebut. Penyemakan terhadap kekuatan dan kelemah system pendidikan di Malaysia perlu dilakukan dari semasa ke semasa oleh perancang kurikulum untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan tertentu bagi menghadapi daya saing persekitaran global yang semakin sengit dan mencabar.

CABARAN: PENGURUSAN PENDIDIKAN

    Pengurusan pendidikan juga telah mengalami transformasi yang agak radikal dalam perkembangan dunia global terutama dari segi penggunaan teknologi telekomunikasi dan pengkomputeran. Beberapa inovasi telah dilaksanakan dalam pengurusan pendidikan di Malaysia terutama di peringkat sekolah bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan pendidikan. Beberapa perisian baru telah diaplikasikan yang dikenali sebagai Pengurusan Maklumat Sekolah (School Management Information System). Aplikasi sistem ini telah memudahkan pihak pentadbiran sekolah melaksanakan tugas-tugas rutin seperti:
    1.Membantu dan mempermudahkan pengurus sekolah membuat keputusan.
2.Meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran.
     3.Mengurangkan beban pengurus dalam melaksanakan tugas yang pelbagai.
     4. Meningkatkan kecekapan sistem pengurusan fail.
   5.Memudah dan menjimatkan masa dari segi mengumpul, memproses dan menyimpan data seperti laporan kehadiran pelajar.
    6.Meningkatkan kecekapan dalam penyediaan gred/markah peperiksaan pelajar.
    7. Penempatan pelajar dalam kelas.
    8.Membuat agihan jadual waktu mengajar guru.
9.Pembinaan jadual waktu guru.
    10. Membuat agihan sumber kewangan, buku teks, dan sebagainya.
  11. Menyimpan data mengenai stok dan inventori sekolah serta pelbagai urusan rutin yang dikendalikan pentadbir dan guru.


              PERANAN PENDIDIK

Hussien Ahmad (2001) memberi penegasan bahawa proses globalisasi telah membawa perubahan yang mendadak kepada perlakuan hidup dan norma kehidupan manusia. Masyarakat Malaysia sedang berdepan dengan pelbagai budaya yang bertentangan dengan budaya setempat. Jati diri anak-anak remaja yang masih di bangku sekolah kini menjadi pertanyaan kerana terdapat petunjuk dimana asas-asas budaya, agama dan bangsa mulai longgar. Mereka semakin liar dan terikut-ikut akan gaya hidup dan amalan negatif kehidupan barat seperti pergaulan bebas dan berseronok-seronok sehingga lewat malam menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas keesokan hari. Semua institusi pendidikan menghadapi cabaran untuk meletakkan anak-anak remaja di landasan moral yang betul melalui pelaksanaan program-program pendidikan nilai di sekolah.
Aspek yang diteliti adalah aspek berkaitan keperibadian guru. Guru perlu menampilkan perwatakan yang positif terutama ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Antara watak yang perlu diterampilkan supaya menjadi contohan pelajar ialah amanah, bersopan santun, berdedikasi serta taat kepada tuhan. Aktiviti kokurikulum seperti badan beruniform, persatuan, kelab, dan kegiatan sukan dapat memberi input penting kepada pembentukan sahsiah pelajar. Aktiviti yang dijalankan melalui pemantauan guru akan menyuburkan sikap positif terhadap semangat kerjasama, berdikari dan semangat cinta akan negara serta membantu dalam pembentukan jati diri dan moral pelajar.

PERANAN PELAJAR
Isu–isu berkaitan perlakuan negatif pelajar semakin membimbangkan. Hasrat untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan individu pelajar yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sedang menghadapi ujian dari segi keberkesanan pelaksanaannya kerana masyarakat masa kini sedang berhadapan dengan arus globalisasi yang bersamanya membawa masuk pelbagai budaya yang bertentangan dengan budaya setempat. Dalam era globalisasi ini, banyak cabaran yang harus ditempuhi. Globalisasi itu sendiri merujuk kepada dunia tanpa sempadan. Generasi kini dikatakan mempunyai kemudahan dihujung jari. Namun begitu, generasi muda seperti pelajar harus lebih berhati – hati dalam memilih segala maklumat yang diperolehi.
Sebagai contoh, dunia hari ini banyak menggunakan internet sebagai rujukan maklumat terutamanya kepada pelajar. Pelajar menggunakan internet dalam mencari bahan rujukan kepada tugasan yang diberikan oleh pengajar. Selain itu, pelajar juga menggunakan internet sebagai bahan untuk bersosial pada laman web tertentu bagi memenuhi keperluan sosial mereka. Sehubungan dengan itu, pelajar haruslah mempunyai nilai kesedaran sendiri. Mereka perlulah pandai dalam memilih maklumat. Banyak maklumat positif yang boleh merangsang minda pelajar dan dalam masa yang sama banyak maklumat negatif yang boleh merosakkan pelajar.
Para pelajar dikatakan sebagai tunjang kepimpinan pada masa akan datang. Pelajar harus bersikap matang dalam menghadapi cabaran era globalisasi. Pada masa sekarang pelajar harus lah sentiasa mengikut perkembangan dalam setiap maklumat kerana persaingan yang ramai. Pelajar yang ketinggalan tidak akan dapat bersaing dan akan sentiasa kebelakang. Perkembangan semasa penting untuk menjadi seorang pemimpin yang disegani. Dunia hari ini mengatakan sehari tanpa berita semasa sudah banyak maklumat yang dilepaskan. Pelajar harus dididik dari sekarang supaya terbiasa dengan arus dunia sekarang.

PERANAN IBUBAPA
Ibu bapa merupakan contoh terbaik untuk pembentukan sahsiah diri anak-anak. Ia bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau personaliti anak-anak supaya ciri-ciri tingkah laku yang ditunjukkannya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara. Keindahan tingkah laku dalam diri anak-anak menjamin masa depan yang cerah bagi belia untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa kelak. Oleh yang demikian, peranan ibu bapa dalam cabaran globalisasi masa kini terutama di Malaysia semakin mencabar. Ibu bapa haruslah menjadi contoh yang terbaik dalam mengorak langkah bagi membimbing anak-anak mereka ini. Seawal dalam kandungan lagi, ibu bapa haruslah cuba untuk menjaga permakanan dan kesihatan agar dapat melahirkan anak yang baik.Ibu bapa juga haruslah memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik dari guru-guru dan seboleh-bolehnya ibu bapa haruslah cuba untuk memenuhi keperluan pelajaran mereka seperti menyediakan komputer peribadi kepada mereka, bahan-bahan bacaan yang mencukupi dan memberikan perkhidmatan tuisyen tambahan agar masa terluang mereka tidaklah diabaikan begitu sahaja. Tambahan pula, ibu bapa mesti sentiasa peka dengan pembelajaran anak-anak dan cuba untuk memberikan yang terbaik agar mereka dapat belajar dalam persekitaran yang baik dan tenang bagi memudahkan mereka menelaah pelajaran dengan berkesan. Selain itu, ibu bapa mestilah sentiasa menemani anak mereka terutama pada waktu malam sekiranya ibu bapa ada kelapangan bagi menemani anak-anak mengulangkaji pelajaran. Dengan itu, tidaklah mereka berasa sunyi dan ada teman untuk berbual atau teman ketakutan. Maka, jelaslah peranan ibu bapa amatlah besar dalam cabaran globalisasi pendidikan masa kini di Malaysia khususnya.


PERANAN ICT
Globalisasi yang asaskan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan budaya dan penguasaan ICT di kalangan pelajar. Perubahan harus berlaku dalam system mengajar dan belajar di bilik-bilik darjah yang mana pendekatan konstruktivisme adalah digalakkan kerana ia dapat memupuk minat serta menggalakkan pelajar lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran di samping menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat. Penyelidikan yang menyeluruh dan berterusan juga perlu dibuat terhadap keberkesanan pendekatan konstruktivisme agar kesan pembudayaan ICT di kalangan generasi muda berlaku secara berkesan dan berpanjangan.

PERSEKITARAN PEMBELAJARAN
Dalam usaha menangani cabaran globalisasi dalam sektor pendidikan, Malaysia perlu menyediakan segala sumber manusia dan kelengkapan sosialnya agar dapat membentuk satu daya ketahanan budaya yang membolehkannya berinteraksi dan bertindak secara autonomous dalam persekitaran baru ini.Pada abad ini, adalah amat penting untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih produktif dalam persekitaran ekonomi baru.Pengurusan sumber manusia dalam pendidikan dahulu dan kini telah membangkitkan pelbagai isu yang menyentuh pelbagai aspek perkhidmatan dalam pendidikan.Namun dalam memastikan produktiviti dipertingkatkan, isu-isu berbangkit ini perlu diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab.
Antara isu yang telah dibangkitkan dalam sektor pendidikan beberapa tahun
kebelakangan ini termasuklah:
i)isu penilaian prestasi atau insentif dalam pendidikan,yang merangkumi, penilaian prestasi tidak dilaksanakan mengikut jadual seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling yang berkenaan, penilaian prestasi tidak dibuat secara objektif, adil dan telus, kelemahan pegawai penilai, sistem giliran dalam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang,penetapan kuota 8% penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang mengikut Pekeliling yang relevan, dan kefahaman konsep dan pelaksanaan Penilaian Tahap Kecekapan.
ii)isu globalisasi pendidikan, yang merangkumi pencapaian perkhidmatan
pendidikan bertaraf dunia,pencapaian daya saing dan daya tahan global, dan transformasi pengajian tinggi bagi menjadikan negara hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.
iii)isu teknologi dalam pendidikan, yang merangkumi keefisienan sistem pertukaran guru atas talian,kemahiran kakitangan dalam teknologi maklumat dan kekurangan infrastruktur fizikal (komputer/peralatan) dan infrastruktur bukan fizikal (perisian teknologi maklumat & komunikasi).
iv)isu jaminan kualiti pendidikan yang merangkumi isu-isu berhubung Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Melangkaui Tahun 2020 dan Pengurusan
v)Kualiti Menyeluruh (Total Quality Management (TQM)) dan Persijilan ISO(International Organisation for Standardisation);
vi)isu perekrutan dan pemilihan staf yang merangkumi perekrutan dan pemilihan guru,unjuran keperluan guru, pembangunan kurikulum,latihan dan pembangunan kerjaya dan penempatan dan pertukaran guru,kekurangan data dan maklumat pendidikan.
vii)isu latihan dan pembangunan staf yang merangkumi pembentukan polisi dan objektif latihan memerlukan maklum balas daripada semua kakitangan masalah impak latihan, contohnya, analisis organisasi yang tidak mencukupi sebelum pelaksanaan, kurangnya sokongan pengurusan, pelatih yang tidak bermotivasi, kemahiran diajar tidak berkaitan dengan masalah, tiada tindakan susulan di tempat pelatih dan masalah peruntukan bagi program latihan yang tidak mencukupi. 
viii)isu pembangunan kerjaya pekerja yang merangkumi kriteria yang dijadikan asas kenaikan pangkat,pertukaran tempat bertugas,pengurusan kerjaya,contohnya penilaian berorientasikan kerjaya, disiplin pekerja dan persaraan serta latihan yang diperlukan sebelum persaraan.

KESIMPULAN                                                           

Kesimpulannya, dunia tanpa sempadan ini memaksa industri pendidikan di Malaysia untuk melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat pra sekolah, pendidikan rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan-peranan daripada pihak pendidik, ibubapa, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi menghadapi transformasi dunia tanpa sempadan ini. Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri.

CABARAN GLOBALISASI DAN CARA MENGATASINYA

Globalisasi sering dikaitkan dengan istilah dunia tanpa sempadan.Adakah ini bermakna globalisasi akan menghapuskan persempadan sesebuah negara?Sebenarnya globlisasi hanyalah pengurangan atau pengapusan brberapa sekatan yang dikenakan oleh sesebuah negara terhadap transaksi yang merentas sempadan negaranya.Situasi ini menjadikan modal,perdagangan,teknologi dan manusia bebas bergerak seolah-olah tiada sempadan negara yang menyekatnya.Globalisasi menjadikan jarak geografi bukan lagi faktor penghalang untuk sesebuah negara saling berhubung sama ada dari segi ekkonomi,sosial atau poitik.Globalisasi juga dikaitkan dengan sifat keterbukaan sesebuah negara terhadap negara lain.keterbukaan sesebuah negara untuk menerima dan meniru kemajuan yang dicapai oleh negara lain mampu menjadikan negara tersebut lebih berdaya saing dan berdaya maju.Sekatan dan halangan melalui pelbagai peraturan akan membantutkan pembangunan sesebuah negara.Globalisasi dianggap sebagai pemangkin kemajuan bagi sesebuah negara.
Sejauh manakah globalisasi yang semakin menular ini membawa kesan positif kepada pembangunan negara kita?Golongan antiglobalisasi menganggap globalisasi sebagai suatu bentuk penjajahan baharu oleh kuasa-kuasa besar dari segi politik,ekonomi dan sosial.Negara-negara kecil akan kehilangan jati diri kerana perubahan dan pemodenan yang berlaku di sekeliling mereka akan menghapuskan nilai-nilai tradisi yang diwarisi.Contohnya di negara kita,budaya timur yang diamalkan sebelum ini telah mula dilupakan.Dari segi pergaulan,berp-akaian,pemikiran dan sebagainya telah dicemari dan dipengaruh budaya barat.Pengaruh budaya barat yang keterlaluan ini menyebabkan kita keliru untuk menilai sama ada sesuatu perbuatan itu betul atau salah.
Walau bagaimamapun,tidak dapat dinafikan bahawa globalisasi telah membawa banyak perubahan positif,soaial,atau ekonomi.Dalam bidang pendidikan,pelbagai perubahan telah dilaksanakan.Tujuannya supaya tarap pendidikan dan modal insan yang dihasilkan mampu bersaing dengan tenaga kerja di negara-negara maju yang lain.Bidang sains dan teknologi diberi keutamaan sesuai dengan keperluan pasaran kerja dewasa ini.
Dari segi ekonomi,negara kita telah melakukan pelbagai perubahan dalam bidang perdagangan,pelaburan langsung asing,migrasi,urbanisasi dan mobiliti tenaga buruh.Perubahan ini penting supaya negara negara kita tidak terpinggir daripada arus globalisasi.Dasar ekonomi terbuka yang diamalkan oleh negara kita menyebabkan pasang surut ekonomi negara banyak bergantung kapada keadaan perdagangan antarabangsa dan iklim politik dunia.Turun naik harga minyak dunia dan peperangan di negara lain turut mempengaruhi keadan ekonomi negara kita.Kegawatan ekonomi yang melanda Asia Timur pada Julai 1997 turut menjejaskan ekonomi negara.Pembaharuan pantabiran yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk memenuhi keperluan akibat perubahan yang berlaku di peringkat global pada masa kini.Pentabiran kerajaan tanpa kertas,Dasar pandang ke Timur,Dasar penswastaan dan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam ialah antara contoh perubahan yang dilaksanaan.Pentabiran yang cekap membolehkan negara maju yang lain.
Fenomena globalisasi tidak boleh dielakkan malah implasi juga terpaksa diterima.Persoalannya bagaimanakah kita boleh menangainya supaya kesan negatif dari fenomena ini diminimumkan?

Globalisasi dan Cabaran Pendidikan

           Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Menurut Kamus Dewan globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

Dalam era globalisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan namun kini ia tidak berlaku lagi. Malah pada hari ini kita telah dapat merasakan apakah dia itu globalisasi. Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi ini.

Dunia bukan sahaja tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalissasi menjangkau sempadan ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideologi, politik dan dari segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat.

Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada globalisasi ekonomi. Di samping itu, ia memberi perhatian besar kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi. Kesungguhan Kerajaan dalam menangani tiga jenis globalisasi ini jelas kelihatan pada berbagai-bagai bentuk wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti dialog, seminar, persidangan dan forum dan juga pada penubuhan berbagai-bagai jenis institusi dan projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah simbol harapan serta kemegahan Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi.

Globalisasi juga merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir dan gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia.

Takrifan pendidikan juga amat penting supaya kita dapat memahami dengan lebih lanjut serta mendalam dengan tajuk yang ingin diselami. Pendidikan, mengikut pandangan umum, ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Pengertian bagi pendidikan pula mempunyai perbezaan bagi setiap individu. Dapat diberikan contoh pengertian daripada tokoh-tokoh falsafah iaitu Plato yang telah memberikan takrifan pendidikan sebagai suatu proses untu membentuk individu yang berakhlak mulia. Beliau telah menyokong pendapat Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah memberikan latihan moral kewarganegaraan yang baik.

Komputer merupakan salah satu alat komunikasi pada zaman globalisasi ini. Komputer boleh direkabentuk supaya ia dapat membantu pelajar secara individu dan secara berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program, pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahan dia.

Dalam arahan program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah tertentu dalam pembelajarannya, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.

Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Trenda semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.

Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.

Seterusnya, peningkatan prestasi pencapaian sekolah kebangsaan perlu dilakukan supaya menjadi sekolah pilihanrakyat. Sekolah merupakan tapak semaian penting bagi memupuk perpaduan negara dan menyemai semangat integrasi nasional. Pelbagai langkah perlu diambil ke arah memperkasakan sekolah kebangsaan supaya ianya menjadi sekolah pilihan semua kaum. Kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah kebangsaan juga perlu ditingkatkan. Kurikulum dan aktiviti kokurikulum di sekolah juga perlu dikaji semula untuk memastikan ia menyediakan asas kukuh dan bersesuaian dengan kehendak semasa. Peluang pendidikan bagi kanak-kanak istimewa dan yang mengalami masalah pembelajaran juga perlu ditingkatkan.

Langkah seterusnya ialah dengan mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan institusi tertiari memenuhi kehendak majikan. Langkah untuk mempertingkat kualiti pendidikan tertiari akan terus dilaksanakan. Institusi pengajian tinggi tempatan perlu diberi tanda aras mengikut piawaian antarabangsa. Bagi memperkukuh keupayaan penyelidikan di universiti tempatan, jalinan kerjasama dengan institusi terkemuka di peringkat antarabangsa dan juga swasta perlu dilaksanakan agar misi ini berjaya menjelang 2020. Institusi pengajian tertiari juga hendaklah meneliti kursus-kursus yang ditawarkan sejajar dengan keperluan semasa

Selain itu, dengan mengadakan lebih banyak tempat untuk pembangunan kemahiran, latihan dan pembelajaran kepada tenaga buruh pada setiap peringkat dan umur termasuk kemahiran penggunaan ICT, misi ini boleh dicapai. Keupayaan dan keberkesanan sesuatu latihan untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran perlu ditingkatkan dengan membanyakkan institusi latihan awam, menambah kursus lanjutan dalam bidang-bidang teknikal, serta menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam bidang latihan teknikal. Pengambilan pelatih teknikal juga perlu ditambah lagi agar misi ini dapat direalisasikan.

Selain daripada itu, kemudahan-kemudahan bagi tujuan pendidikan juga akan terus bertambah bagi tujuan pembelajaran. Bersesuaian dengan dunia tanpa sempadan, kita seharusnya didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan supaya kita semua tidak ketinggalan. Maka, kemudahan-kemudahan inilah yang akan membantu kita sebagai alat bantu mengajar yang boleh dipercayai. Kepesatan arus globalisasi ini juga akan membuatkan pemikiran anak-anak generasi kita pada masa hadapan akan lebih jauh ke hadapan dengan bantuan pelbagai kemudahan yang di sediakan.

Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata ketika membentang Rancangan Malaysia Kesembilan, “ Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan. Pembangunan modal insan dalam RMK-9 dirangka supaya bersifat holistik, menyeluruh dan bersepadu”. Melalui ungkapan beliau itu, beliau amat berharap agar negara kita akan mencapai hasrat dan aspirasi dan seterusnya menyertai barisan negara maju menjelang 2020.

CABARAN MASA DEPAN

Cabaran Masa Depan


- Merancang mata pelajaran futuristik untuk
sumber manusia masa depan
- Projek merekacipta sistem pengangkutan
mesra alam
- Cadangan menyelesaikan masalah
perumahan/kesesakan lalu lintas/
pengangkutan
- Kajian punca dan cara mengatasi gejala
gengsterisme di sekolah
- Kajian tentang cabaran sistem kekeluargaan
masa depan
- Kajian kes isu sosial di kawasan setempat
- Merancang khemah pelarian atau
perkhidmatan kecemasan bencana alam
- Merancang projek kerjasama

Kesan globalisasi terhadap bidang pendidikan di negara ini

Globalisasi merujuk kepada satu cara hidup dunia tanpa sempadan dan saling berkaitan antara satu sama lain. Walaupun secara umumnya globalisasi itu lebih memberi kesan kepada ekonomi dunia, namun bidang lain seperti pendidikan tidak terkecuali.

Natijah daripada dunia tanpa sempadan, pendidikan di negara ini menjadi terbuka kepada dunia luar sama ada untuk belajar mahupun menubuhkan cawangan universiti asing di sini. Sudah tentu peluang yang sebegini akan diambil oleh universiti luar, terutamanya yang terkemuka dan berprestij. Mereka akan membuka cawangannya di negara ini. Walaupun cara ini merupakan suatu persaingan yang sihat, namun institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih belum bersedia untuk menghadapi situasi ini. Hal ini akan memberi kesan yang besar kepada IPT tempatan, terutamanya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Para pelajar tentu akan memilih universiti luar yang terkemuka demi pasaran kerja mereka. Hal seperti ini telahpun berlaku apabila graduan IPT luar negara menjadi pilihan utama majikan berbanding graduan IPT tempatan. Dengan demikian juga, IPT tempatan akan mengalami masalah kekurangan pelajar dan akhirnya membawa kepada penutupan IPT berkenaan, khususnya IPTS yang bersaiz kecil.
Kesan globalisasi ini juga akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini berlaku kerana para pelajar mudah mendapat maklumat melalui internet. Maklumat yang disebarkan melalui internet sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris. Selain itu, cawangan universiti luar akan terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai wahana dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini juga, sudah banyak IPTS yang telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal sebegini akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun sudah terbukti bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang. Jika hal ini berlaku, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan bahasa Melayu akan terbantut.
Globalisasi akan memesatkan pengkomersilan pendidikan itu sendiri. Ahli korporat pendidikan akan mengaut keuntungan melalui bidang pendidikan. Amat dibimbangi jika hal ini berterusan dan tanpa kawalan, matlamat dan objektif asal pendidikan akan terkorban. Demi mencapai keuntungan semata-mata, kualiti pendidikan mungkin diabaikan. Masalah ini akan ketara apabila kelayakan masuk pelajar tidak diambil berat seperti dikenakan syarat yang longgar, pensyarah terdiri daripada mereka yang kurang terlatih dan kurang pengalaman, kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang minimum, kualiti ilmu yang diajar meragui dan lain-lain lagi.
Selain itu, pengkomersilan pendidikan seperti ini akan menafikan konsep pendemokrasian pendidikan. Hanya pelajar yang mampu dari segi kewangan sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran. Han ini hanya sekitar 20 peratus sahaja bilangan pelajar bumiputera di IPTS berbanding ratusan ribu pelajar IPTS keseluruhannya. Perkara ini jika tidak dibendung akan meluaskan jurang antara golongan bumiputera dengan golongan bukan bumiputera. Selain itu, hanya yang kaya sahaja akan dapat menikmati pendidikan tinggi, manakala yang miskin dinafikan peluang mereka. Ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat berilmu tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
Kesan seterusnya yang akan timbul ialah penghayatan ilmu itu semakin terhakis. Hal ini demikian kerana para pelajar hanya belajar ilmu sahaja tanpa menghayati ilmu itu sendiri. Mereka belajar hanya untuk tujuan peperiksaan atau demi memenuhi tugasan yang diberikan sahaja. Ini akan melahirkan generasi yang cerdik pandai tanpa diimbangi dengan penghayatan ilmu itu sendiri. Akibatnya, kemahiran yang mereka miliki mungkin akan digunakan untuk tujuan negatif seperti melakukan pecah amanah, menipu dan sebagainya.
Kesimpulannya, semua pihak harus menyedari kesan globalisasi ini dan bersedia dengan langkah yang komprehensif. Kita tidak boleh mengelak daripada menghadapi globalisasi kerana tanpanya kita akan terus ketinggalan. Oleh itu, kita perlu bersedia untuk mengatasi sebarang cabaran yang wujud daripada fenomena globalisasi ini.

CABARAN GLOBALISASI: KESANNYA KEPADA REMAJA

DUNIA kini semakin rumit dan berserabut. Jika ada dua perkataan yang dapat menggambarkan situasi yang kini sedang berkembang dalam dunia dewasa ini adalah "kekeliruann dan "kepalsuan".

Apakah yang lebih mengelirukan bagi generasi pewaris jika mereka dalam suatu keadaan sedang menyaksikan kehidupan manusia yang berada di dalam kekaburan dan kesamaran untuk menentukan destinasi hidup yang sebenar? Di suatu waktu golongan muda kita diperdengarkan mengenai slogan keadilan dan kebenaran tetapi di waktu yang lain mereka menyaksikan perbuatan yang zalim dan pemalsuan di atas nama keadilan dan kebenaran itu sendiri.

Sesungguhnya kekeliruan dalam pemikiran dan tanggapan terhadap erti kesejahteraan dan kemakmuran hidup telah membawa kepada krisis yang semakin kusut dan tragedi yang amat besar kepada kemanusiaan di waktu ini. Komplot dikelirukan di atas nama kebersamaan, monopoli kekayaan di atas nama pertumbuhan ekonomi, dominasi budaya di atas nama liberalisasi, penindasan golongan lemah di atas nama demokrasi, hedonisme di atas nama kebebasan individu peminggiran di atas nama urbanisasi dan penjajahan di atas nama pasaran bebas.


Semua ini sedang dihidangkan kepada generasi pewaris. Dalam jangka masa panjang yang palsu jika diulangi dan diperkukuhkan dengan kenyataan yang tidak disanggah, akhirnya akan menjadi persepsi yang dianggap benar dan terus dilanjutkan serta kadangkala dipertahankan tanpa soal.


Kita kerap memperkatakan sesuatu yang sering tidak kita fahami tetapi akibat dari sogokan yang bertubi-tubi melalui pelbagai media ia sudahnya diterima. Di zaman ini tidak ada ungkapan dan laungan yang paling tertonjol dan didengari dan dianggap sebagai benar oleh hampir semua pemegang kuasa dan khalayak awam melainkan Globalisasi.


Ramai yang sudah hampir yakin dengan penuh taqlid bahawa fenomena globalisasi adalah suatu realiti yang perlu diakui. Sejauh mana dan ke mana arah sebenarnya globalisasi akan membawa kita hampir tidak dapat diteliti dengan waras dan saksama oleh pelbagai pemikir dan perancang.


Kita sekarang sebenarnya sedang berada di suatu zaman di mana proses penyeragaman yang amat ketara sedang berlangsung. Akibat dari apa yang dikatakan globalisasi, kita sudah hampir pasti mengatakan kepelbagaian adalah satu ketidaksempurnaan. Oleh yang demikian kita semakin akur mengatakan bahawa globalisasi adalah suatu konsep yang benar dan tepat walaupun natijahnya jelas membawa banyak kesan negatif daripada positif. Kita akan perhatikan bahawa hampir semua aspek kehidupan kita sedang menjalani proses globalisasi yang sebenarnya adalah untuk mengheret kita ke dalam suatu sistem hidup yang diseragamkan di seluruh dunia.


Tidak ada aspek kehidupan yang tidak disentuh oleh proses globalisasi. Tidak ada sektor pembangunan dan kemajuan sesebuah negara yang sepi dari sentuhan glabalisasi. Namun begitu kita tidak pula nampaknya mengambil sikap yang kritikal terhadap proses ini.


Dalam keghairahan untuk diglobalkan, kita semakin terputus dari budaya dan akar sejarah kita sendiri. Suatu tanggapan yang tidak disedari sedang menjadi asas pemikiran kita masa kini ialah semua sejarah bangsa mahupun negara tidak lagi bermakna melainkan proses globalisasi adalah satu-satunya fenomena yang harus membentuk seluruh tamadun hidup semasa.


Murni


Itulah hakikat globalisasi sebenarnya di mana ia adalah suatu proses penyeragaman dan penyamarataan "semua untuk satu dan satu untuk semua". Globalisasi dilihat sebagai suatu faham bahawa di dalam kehidupan ini tidak wajar lagi diiktiraf tanggapan nilai murni dan mulia secara objektif. Akibat dari "nilai-nilai global" yang dibentuk serta didalangi dan didukungi oleh faham dan pandangan hidup barat, maka kehidupan yang dilandaskan oleh nilai-nilai mutlak berdasarkan pegangan agama tidak lagi dapat diterima.


Apa yang disogokkan melalui globalisasi ialah segalagalanya perlu disamaratakan. Dengan lain perkataan ia bermakna seluruh pandangan hidup dan nilai hidup hendaklah diseragamkan tidak kira dari mana asas nilainya yang dibentuk. Ini diterjemahkan dalam pelbagai dimensi hidup dari sekecil-kecil perilaku seperti berpakaian sehinggalah ke sebesar-besar agenda di peringkat perhubungan antarabangsa.


Lantaran globalisasi mempunyai Jentera penjananya sendiri iaitu badan-badan konglomerat dunia yang sekali lagi berpaksi dan berpusat di barat maka kepentingan globalisasi pada hakikatnya tidak lain daripada kepentingan barat jua. Globalisasi pada hakikatnya tidak lebih daripada maksud dominasi. Laungan keadilan dan kesaksamaan universal yang cuba dikaitkan dengan proses globalisasi hanya merupakan suatu pemalsuan dan penyembunyian hakikat sebenar.


Kita sering tenggelam dan lemas dalam kejahilan yang amat ketara. Hampir jelas globalisasi sebagai suatu istilah baru kepada gerakan yang lama tidak lagi dapat difahami apatah lagi dianalisa dengan kritikal.


Semakin ramai penganalisis dunia kini telah memperakui globalisasi sebagai satu kenyataan yang diterima dan perlu dijadikan premis yang benar dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Keghairahan pemikir-pemikir dan ahli-ahli akademik untuk menerima globalisasi kini diperkukuhkan oleh badan-badan antarabangsa di atas pelbagai nama yang amat mengkagumkan. Tanpa segan silu lagi mereka mengatakan bahawa fenomena wujudnya "rakyat global" adalah suatu bentuk idealisme yang perlu diterima oleh semua negara.


Demikianlah mendalamnya pemikiran globalisasi yang dijiwai oleh perancang-perancang pembangunan di seluruh dunia sehingga tidak wujud lagi rasa curiga terhadap kesan prosesnya yang dijana dan dicanangkan oleh kuasa-kuasa barat.


Tidaklah menghairankan kalau penganut-penganut globalisme ini akhirnya akan mengatakan, kedaulatan sesebuah negara bangsa tidak perlu diwujudkan lagi kerana mereka terus beranggapan bahawa apa yang dipanggil "dunia tanpa sempadan" adalah kemuncak kemajuan. Dengan demikian mereka berasa puas untuk menjadi alat dan hamba kepada pelbagai institusi global yang mengeksploitasi seluruh kepakaran dan keahlian mereka bagi membuka dan merungkai segala halangan yang menyebabkan sesebuah negara tidak memperakui globalisasi sebagai satu kemestian.


Kita menjadi semakin terhimpit apabila negara dankebanyakan pemimpin sudah membuat komitmen untuk menyertai proses globalisasi ini. Apakah makna, ke arah manakah tujuan dan apakah implikasinya, tidak menjadi persoalan penting. Apa yang diutamakan adalah semua pihak perlu menyertai dan menyesuaikan diri untuk menjadi lebih global.


Jika benarlah global itu bermakna lebih menyeluruh dan mengambilkira semua aspek dan kepentingan setiap warga dunia, kenapakah realiti globalisasi yang sedang berjalan kini tidak menunjukkan tanda tersebut melainkan semakin ketara fenomena dunia yang bersifat unipolar sedang dikuasai oleh hanya satu blok kuasa iaitu blok barat sahaja. Yang semakin jelas ialah bukan konsep menyeluruh itu yang sebenarnya ditekankan tetapi sebaliknya konsep "semua untuk satu" jualah yang kini menjadi agenda barat.


Apabila kita ingin menyinggung persoalan cabaran dan kesan globalisasi ke atas golongan remaja, sebenarnya kita sudah agak lewat untuk membuat suatu penilaian kritikal bagi mempersiapkan golongan tersebut menghadapi fenomena ini. Malah kesan globalisasi sudah terlalu awal lagi berada dalam kawalan kuasa besar dalam pelbagai bentuk seperti badan ekonomi, badan korporat dan konglomerat teknologi.


Cabaran


Satu-satunya cabaran globalisasi yang perlu diperbahaskan di agenda paling atas adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Cabaran ini adalah suatu persoalan yang sangat kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosio budaya sesuatu kelompok masyarakat belia dapat disempurnakan maka segala usaha untuk menerobos bidang — bidang yang lain akan menjadi lebih mudah.


Golongan muda sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses globalisasi sosio budaya. Melalui pelbagai saluran, golongan belia akan menjadi dan terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Sesungguhnya tidaklah mengejutkan apabila sistem sosio budaya masyarakat muda kini sudah dirungkai sehingga segala nilai tradisi kita kini sedang melalui proses penghakisan yang amat ketara.


Adalah terlalu ketara untuk menafikan mengenai wujudnya keadaan di mana anak-anak muda semakin menunjukkan tanda tercabut dari akar budaya, bangsa dan agamanya sendiri. Dalam keghairahan untuk mengejari gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat, anak-anak muda kita secara umumnya kini sudah tidak merasa bersalah untuk meniru secara bulat budaya hidup barat. Kita dapat saksikan globalisasi budaya ini dalam pelbagai bentuk kehidupan golongan belia.

Pengamatan yang jelas dapat membuktikan fenomena di atas boleh disaksikan dengan insiden-insiden dan trend berikut:


Pakaian jenama barat.Makanan segera keluaran barat.Minuman global yang ditaja oleh barat.Hiburan yang menonjolkan budaya barat.Media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda.Rekreasi yang meniru ala barat.Dunia lakonan dan pembikinan filem cara baratMajlis-majlis sosial yang menonjolkan acara-acara ala barat.Produk rokok yang menajakan budaya hidup barat.

Demikianlah antara fenomena globalisasi yang kini sedang mencabar seluruh jati diri golongan muda. Dari globalisasi kepada dominasi, golongan muda semakin terdedah kepada kehidupan dan nilai keperibadian yang terputus dan terpisah jauh dari budaya hidup timur.


Kita tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari implikasi globalisasi yang semakin rancak dan tidak terkawal. Golongan muda seharusnya berani untuk menyanggah arus globalisasi bagi memastikan jati diri kita yang sebenar tidak akan digadai. Hanya golongan muda yang mempunyai keberanian dan keyakinan diri bahawa sementara kita ingin berinteraksi dengan dunia luar kita tetap akan terus yakin dan tegas dalam mempertahankan kejatian diri kita. Tanpa kesedaran ini globalisasi akan menenggelam dan melemaskan golongan muda dengan nilai dan pegangan hidup yang sangat mengelirukan dan palsu.